Budaya Gunung Daik

Dalam masyarakat Melayu

Masyarakat Melayu melihat gunung ini sebagai lambang keperibadian dan penghalusan budi.[4] Bahkan, kedudukan ini turut diabadikan dalam karangan pantun tertentu yang masyhur sebagai kata pembayang:[3]

Pulau Pandan jauh ke tengah,
Gunung Daik bercabang tiga,
hancur badan dikandung tanah,
budi yang baik dikenang juga

Tiga puncak asal gunung ini pula dikaitkan dengan "tiga pucuk kepimpinan" yang dianggap sebati dalam memastikan damai dan sepadunya masyarakat dipimpin:[4]

Yang tua memberi nasehat
Yang alim memberi amanat
Yang kuasa memberi daulat

Suatu acara diadakan secara tahunan untuk meraikan kepentingan gunung ini terhadap kebudayaan tersebut iaitu Festival Gunung Daik, ia merupakan sebahagian daripada rancangan budaya memperkuatkan peranan kawasan sekitarnya di pulau Lingga sebagai "Bunda Tanah Melayu".[5]

Kepercayaan halus

Ada cerita turun-menurun yang dipercaya masyarakat sekitar tentang orang bunian, makhluk halus yang menghuni ketiga-tiga puncak gunung ini namun sering berinteraksi dengan masyarakat manusia yang tinggal di sekitar gunung. Bahkan menurut cerita, masyarakat bunian disebut sering meminjam alat perkakas atau perabotan untuk menggelar pesta kenduri pernikahan.[6]